Gambar: Sharifah Khairunnisa
Ada-ada sahajalah kau ni Sharifah. Kerja yang ada masih tidak cukupkah? Kepala otak ni sudahlah serabut dengan kerenah anak-anak, hendak menguruskan suami yang sakit lagi sambil menjadi mak supir sepenuh masa. Itu belum masuk lagi bab cerita menguruskan hal-hal bisnes. Fikir satu per satu tugas sahaja pun sudah letih. Ini belum lagi buat. Macam lipas kudung rasanya. Mana satu hendak dibuat terlebih dahulu?
Tercari-cari inspirasi untuk menulis. Terpandang gambar orang lain yang mempunyai matlamat yang sama seperti diri ini. Rata-rata ramai orang suka mengambil gambar buku nota mereka, laptop, pen, cermin mata dan yang paling wajib adalah secawan kopi.
Cliche! Terdetik hatiku berkata. Adakah aku juga harus mengambil gambar sebegitu sebagai lambang seorang penulis yang sungguh berinspirasi?
Tiada rambu-rambu, tiada warna-warni. Tiada kopi.
Haha. Sejenis manusia yang praktikal rasanya.
|
Konon-konon ada kek, ada kopi, pen dan buku cantik itu boleh menjanakan idea? Mungkin. Mungkin tidak.
Pada aku, inspirasi boleh didapati di mana sahaja, daripada sesiapa sahaja dan tidak spesifik atau boleh digunapakai untuk setiap orang. Lain orang, lain caranya.
Mencari inspirasi di bengkel kereta. |
Aku bukanlah seorang "kaki travel", penceramah bebas atau seorang yang berperwatakan "sanguine". Aku hanyalah aku. Kadang-kadang, aku pun tidak sukakan aku. Apa aku hendak tulis ni?
Mak supir kebiasaannya meluangkan banyak masa di dalam kereta bersama anak-anak. |
Dalam kepala otak aku ini serabut pula memikirkan hal remeh temeh sebegitu. Sepatutnya aku perlu fokus sepenuhnya kepada pameran ibu dan bayi hujung bulan ini. Pukul habis kata orang bisnes.
Pameran ibu dan bayi ini perlukan persiapan yang lebih teliti daripada pameran-pameran yang pernah aku lakukan sebelum ini.
Kenangan bersama pelanggan di ekspo TCE Ibu & Bayi. |
Ramai rakan-rakan kongsi akan memeriahkan lagi pameran akan datang dengan pelbagai produk-produk buatan mereka sendiri. Aku tidak mahu menghampakan mereka. Aku mahu lakukan yang terbaik.
Masing-masing perlu diberitahu persiapan apa yang perlu dibuat oleh mereka sebelum pameran berlangsung. Setiap kali ada sahaja penambahbaikan serta info-info terbaharu yang perlu disampaikan kepada mereka dan masa amatlah mencemburuiku.
Tempahan kedai dalam talian juga harus sentiasa dibelek, pelanggan-pelanggan perlu dibelai; selepas itu, tempahan-tempahan wajib dimasukkan ke dalam sistem dan akhir sekali perlu dibungkus rapi sebelum penghantaran ke pusat Poslaju.
Mencari sesuap nasi di kedai dalam talian. |
Ah, hendak siapkan yang mana satu terlebih dahulu? Serabut. Tugasan demi tugasan diberikan oleh cikgu. Pasrah. Hendak tidak hendak, terpaksa kentalkan hati ini. Paksa diri ini. Pujuk diri ini. Tebalkan muka ini. Sudah bayar masuk ke kelas bukan? Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke lengan. Buat yang terbaik, inshaaAllah hasilnya juga akan dapat yang terbaik.
Semangat yang lama hilang, kini tiba-tiba kembali. Skrip drama Maria Mariana kau di mana, Sher? Tersenyum simpul seorang diri teringat kisah Maria yang jatuh dari tangga dan jatuh koma bertahun-tahun. Oh, klisenya! Dasar drama melayu!
Walhal diri ini tidak suka, malah membenci drama Melayu. Hanya suka menonton sitkom dan rancangan-rancangan televisyen berbahasa Inggeris sahaja.
Cerita-cerita melayu hanyalah untuk peringkat makcik-makcik. Novel-novel melayu tersangatlah jiwang dan poyo.
Konon hebatlah sangat waktu itu, tetapi entah mengapa, skrip bahasa Malaysia jugalah yang kau sibuk karangkan. Siap cetak cantik-cantik dan suruh orang baca lagi. Tak ramai. Seorang sahaja yang pernah membaca. Geli hati memikirkannya.
"Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat?". Tiba-tiba terngiang-ngiang pula lagu Kopratasa.
Syahdu.
No comments:
Post a Comment